Search This Blog

Friday, 12 January 2018

Selami kehidupan Orang Asli


Ayat ini jelas menunjukkan Islam amat menitikberatkan berkaitan perhubungan yang baik sesama manusia khususnya di kalangan ummah iaitu persaudaraan seagama. Islam menganjurkan penganutnya agar saling menjalinkan kasih sayang (mahabbah), hormat-menghormati, bekerjasama, bertimbangrasa, tolong-menolong, nasihat-menasihati, berbaik sangka antara satu sama lain. Itulah keindahan Islam, agama syumul yang menggalakkan kepada kesejahteraan ummah.
Masyarakat Orang Asli di negara ini sering dilihat sebelah mata, sedangkan ramai daripada mereka telah melakukan pengorbanan terbesar di dalam kehidupan mereka iaitu melakukan hijrah akidah. Penghijrahan ini sedikit sebanyak telah meragut ketenangan yang diraih sebelum ini. Apa tidaknya, mereka telah disisihkan daripada masyarakat mereka sendiri demi keteguhan dan kecintaan mereka kepada Allah dan Rasul.
Melihat kepada realiti kehidupan ini, Islamic Aid Malaysia (IAM) bersama Pusat Perundingan dan Latihan IKIM (PPLI) telah berkunjung ke Kampung Makmur, Ulu Kinta, Perak dalam mendekati masyarakat Orang Asli, baru-baru ini.
Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat Orang Asli ini mengenai kehidupan berlandaskan Islam untuk tujuan dakwah di samping menghulurkan sumbangan bagi mengurangkan beban golongan tersebut dalam persediaan menyambut Ramadan tidak lama lagi.
Program ini juga turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta Pantai Hospital Ipoh.
Perjalanan yang mengambil masa hampir 40 minit menaiki kenderaan pacuan empat roda dari pekan Tambun, Perak ini terpaksa meredah bukit-bukau dengan laluan yang kecil dan curam.
Uniknya, misi ini telah mendapat kerjasama daripada Kelab Pacuan Empat Roda Penang yang telah terlibat secara langsung dalam menyediakan khidmat kenderaan untuk membawa rombongan misi ke destinasi ditujui.
Di kawasan perkampungan yang indah itu, seramai 300 keluarga Orang Asli dengan majoritinya beragama Islam. Kebanyakan masyarakatnya bekerja sebagai petani dan ada di antaranya mencari rezeki dengan menjual petai serta pucuk paku. Bagi generasi mudanya pula, ramai yang telah berhijrah ke bandar dan ada yang bekerja sebagai pekerja kilang.
Kehadiran ahli rombongan misi ini telah disambut mesra oleh penduduk kampung dengan persembahan kebudayaan.
Kunjungan kemanusiaan ini bukan sekadar kunjungan biasa, namun ia diserikan dengan pelbagai aktiviti yang mendidik jiwa. Satu sesi ceramah berkaitan kebersihan diri dan pemakanan berlandaskan Islam telah disampaikan oleh Ustaz Sufian Mohd. Talib dari Jakim yang berpengalaman luas bertugas bersama-sama kakitangan Jakoa di perkampungan Orang Asli sekitar Perak.
Bahkan, pihak IAM dan PPLI turut menyediakan aktiviti pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada komuniti Orang Asli tersebut. Seramai kira-kira 120 kanak-kanak telah diperiksa dan diberikan nasihat kesihatan serta dibekalkan dengan ubat-ubatan.
Rata-rata daripada mereka didapati menghadapi masalah penyakit kulit dan pemakanan. Pantai Hospital Ipoh yang telah membekalkan ubat-ubatan secara percuma kepada masyarakat Orang Asli. Malah pihak hospital turut bersedia untuk menaja kanak-kanak yang memerlukan rawatan atau pembedahan lanjut.
Demonstrasi masakan
BAGI menambahkan lagi keberkesanan program ini, aktiviti demonstrasi penyediaan makanan telah diadakan oleh Chef Faizal dari Jakim. Program ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada kaum wanita.
Mereka telah diajar cara memasak mengikut lunas-lunas Islam, di mana setiap bahan yang digunakan perlulah dibasuh terlebih dahulu dan amalan berselawat ketika memasak.
Lebih menarik lagi sesi ini turut dijalankan dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan diterjemahkan kepada bahasa masyarakat setempat memandangkan masih ada lagi di antara mereka yang kurang fasih berbahasa Melayu. Aktiviti gotong-royong memasak juga turut diadakan dalam suasana kenduri sehingga terhidangnya juadah Nasi Minyak, Ayam Masak Kurma, Dalca, Ikan Pekasam dan Acar Timun.
Pada sesi petangnya, satu majlis ringkas telah diadakan di dalam dewan yang berbumbungkan atap rumbia dan berlantaikan buluh bagi tujuan menyampaikan sumbangan.
Majlis telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Prof. Datin Dr. Azizan Baharuddin dan Presiden IAM, Zawahir Abdullah.
Program istimewa ini telah menyaksikan sumbangan berbentuk pek makanan kepada 200 orang penerima manfaat.
Pek makanan tersebut mengandungi barang keperluan asas seperti beras, gula, tepung, sardin, minyak, tepung, ikan bilis, ubat gigi, sabun mandi, berus gigi dan sebagainya dan dijangka dapat mengurangkan beban kesusahan keluarga tersebut selama beberapa minggu.
Selain itu, bagi menceriakan suasana turut diadakan acara sukaneka yang melibatkan kanak-kanak serta orang dewasa.
Menurut Zawahir, walaupun mereka merupakan golongan minoriti dan masyarakat yang terpinggir namun dalam misi untuk memberi bantuan, mereka juga berhak untuk di beri perhatian.
"Kita menyedari bahawa masyarakat Orang Asli di negara ini amat memerlukan bantuan terutamanya yang berada di kawasan pedalaman.
"Biarpun perkampungan masyarakat Orang Asli ini berada jauh di kawasan pendalaman dan terpaksa merentasi pelbagai halangan, namun bantuan yang diamanahkan kepada pihak kami ini perlu dipastikan sampai kepada yang berhak menerimanya," katanya.
Katanya, pihak IAM berterima kasih kepada PPLI yang telah membiayai program ini. Begitu juga kepada rakan-rakan kemanusiaan yang lain seperti Jaki, Jakoa, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta Pantai Hospital Ipoh atas kerjasama itu.
Sementara itu, Pengarah PPLI, Siti Fatimah Abdul Rahman melahirkan rasa gembiranya kerana dapat bersama-sama masyarakat Orang Asli di Kg. Makmur itu.
"Ini adalah permulaan yang amat baik untuk program seterusnya. Pengisian asas dan bantuan yang tidak seberapa ini diharap akan dapat mendedahkan kefahaman tentang kebersihan yang amat ditekankan dalam ajaran Islam.
"Pemberian pek makanan juga sedikit sebanyak dapat membantu mereka. Malah lawatan ke rumah Orang Asli juga memberi pendedahan yang amat berguna kepada warga IKIM sendiri," ujar Siti Fatimah.


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130705/ba_03/Selami-kehidupan-Orang-Asli#ixzz541K1O2Dk 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

SAGA FIORE ADDY COOL

 Antara jelmaan Fiore terbaek dlm koleksi SagaJB... klu parking seblah Ferrari pun org tak heran dgn Ferrari tu