Search This Blog

Monday, 15 January 2018

'Hilangnya' Jalur Gemilang di pintu sempadan



MALAYSIA adalah sebuah negara yang terletak di tengah-tengah Asia Tenggara yang mempunyai sempadan darat langsung bersama Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia. Antara kesemua negara-negara ini, Malaysia mempunyai pintu sempadan darat (dan juga sungai) terbanyak dengan Thailand. Lapan pintu tersebut ialah pintu Wang Kelian-Wang Prachan dan Padang Besar di Perlis, Bukit Kayu Hitam-Dannok dan Durian Burung-Ban Prakob di Kedah, Pengkalan Hulu-Betong di Perak, dan Bukit Bunga-Bu Ke Ta, Rantau Panjang-Sungai Golok dan Pengkalan Kubor-Tak Bai di Kelantan.

Sempadan Malaysia-Thailand hari ini pada awalnya telah ditetapkan oleh Kerajaan British dan Siam pada tahun 1909 menerusi Perjanjian Bangkok. Menerusi Perjanjian 1909 ini, garis sempadan sepanjang 646km telah dilukis dari Barat ke Timur, dari Perlis ke Kelantan, memisahkan wilayah-wilayah selatan Thailand, Pattani, Yala dan Narathiwat daripada wilayah-wilayah rumpun mereka di Kelantan dan Terengganu. Wilayah Setul dipisahkan dari Kedah dan Perlis dan menjadi provinsi Satun pada hari ini.

Garis sempadan darat yang dilukis adalah sejauh 551km dengan 95km lagi menggunakan aliran Sungai Golok sebagai garis sempadan antarabangsa. Garis sempadan darat yang dilukis antara pihak British-Siam secara dasarnya menggunakan lembangan air atau watershed sebagai sempadan antara kedua-dua wilayah.

Tidak keterlaluan untuk menyatakan sempadan yang dilukis oleh British dan Siam ini lebih menguntungkan pihak Thailand. Sultan-sultan Melayu tidak dilibatkan dalam melukis garis sempadan ini pada tahun 1909. Sebagai contoh, apabila garis lurus ke arah timur dilukis dari Kedah dan Perlis, ianya akan sejajar dengan wilayah Yala, Pattani, Narathiwat dan Songkhla dan bukannya bersempadanan langsung dengan Kelantan. Ini menyebabkan Tanah Melayu pada tahun 1909 kehilangan wilayah-wilayah selatan Siam yang bermajoriti penduduk Melayu sehingga hari ini.

Kita harus sedar bahawa negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia adalah cuma sebahagian daripada apa yang patut menjadi wilayah negara kita pada hari ini. Oleh itu, kerajaan dan rakyat perlu berganding bahu menjaga keutuhan dan kedaulatan negeri-negeri ini dengan baik.

No comments:

Post a Comment

SAGA FIORE ADDY COOL

 Antara jelmaan Fiore terbaek dlm koleksi SagaJB... klu parking seblah Ferrari pun org tak heran dgn Ferrari tu