PENGHARAMAN arak dan kesan buruknya telah dijelaskan dalam ayat-ayat Al Quran dan Hadis Rasulullah saw lebih 1400 tahun dahulu. Antara kesan-kesannya yang disebut ialah berpaling daripada ketaatan kepada Allah seperti tinggalkan solat dan berani melakukan maksiat, boleh menghilangkan akal, serta menyebabkan kebencian dan permusuhan.
Ayat-ayat Al Quran mengenai pengharaman arak diturunkan dalam 4 peringkat dengan mengambil kira orang yang masuk Islam ketika itu masih lagi kurang imannya dan agak sukar melepaskan tabiat kegemaran mereka ketika Jahiliyah.
Tahap pertama mengatakan adanya kandungan alkohol dalam anggur (An Nahl:67), tahap kedua menyatakan mudarat minum arak lebih besar daripada manfaatnya ( Al Baqarah: 219), tahap ketiga pula mengenai larangan melakukan solat ketika mabuk (An Nisaa’: 43) dan tahap keempat ialah penetapan terus pengharaman arak (Al Maa’idah: 90).
Allah berfirman yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya meminum khamr, berjudi, (berkorban untuk} berhala dan mengundi nasib dengan anak panah, adalah perbuatan syaitan. Maka jauhilah (perbuatan-perbuatan) itu agar kamu berjaya.”
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa meminum minuman keras hingga masuk ke dalam perutnya maka tidak diterima shalatnya selama 7 hari, apabila meminum minuman keras sampai hilang akalnya (mabuk) maka tidak diterima shalatnya selama 40 hari, apabila ia mati, matinya dalam keadaan kafir, apabila ia bertaubat maka Allah akan menerimanya, apabila ia mengulanginya lagi maka hak Allah nanti akan memberikan minuman dari darah campur nanah.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Majah)
Kebanyakan agama di dunia seperti Buddha, Hindu, Kristian dan Sikh juga mengharamkan arak di dalam kitab-kitab mereka kerana kesan-kesan dan akibat-akibatnya lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan. Orang yang minum arak didapati apabila mabuk, mereka mudah melakukan kejahatan dan maksiat berterusan tanpa rasa bersalah di samping pelbagai masalah kesihatan yang dihadapinya.
Pada tahun 2015, data terbaru daripada Badan Kesihatan Dunia (WHO) mengenai laporan status global mengenai alkohol dan kesihatan, menunjukkan bahawa orang di Tajikistan mengambil minuman beralkohol paling banyak setiap tahun, dengan jumlah rata-rata 30.3 liter per orang. Ini agak mengejutkan kerana majoriti penduduk ialah 80 peratus Muslim. Ini bermakna orang bukan Islam minum alkohol dengan jumlah yang sangat banyak. Di urutan kedua ialah Rusia, dengan rata-rata konsumsi alkohol 22.3 liter per orang. Di tempat ketiga ialah Cina (15.1 liter) diikuti Ireland dan Jerman (14.7 liter). Dikatakan bahawa antara sebab pengambilan alkohol ialah memanaskan badan, menghilangkan rasa sedih dan stress serta sebagai suatu kebiasaan.
Di Eropah, di mana masalah ketagihan arak agak menular dan telah menyebabkan kadar kematian yang tinggi akibat kemalangan, kecederaan dan penyakit ‘liver cirrhosis’ serta kanser hati, pelbagai pihak termasuk kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah untuk mengurangkannya termasuk mengharamkan penjualan arak di stesen-stesen minyak, menaikkan cukai jualan arak dan meletakkan amaran kesihatan di label-label botol-botol arak.
Menurut catatan World Health Organization (WHO) pada tahun 2011, tercatat 2.5 juta penduduk dunia meninggal dunia akibat alkohol dan 9 peratus kematian tersebut terjadi pada orang muda (15-29 tahun). Adalah difahamkan bahawa minuman beralkohol yang ada di kalangan masyarakat mengandungi kadar alkohol yang agak berbeza. Bir umumnya mengandungi alkohol 3.5-5 peratus, wine mengandungi alkohol 10-14 peratus, fortified wine mengandungi alkohol 14-20 peratus manakala whisky dan vodka mengandungi alkohol yang paling tinggi iaitu 40 peratus.
No comments:
Post a Comment